Sunday, October 07, 2012

Masa terus berlalu

Bismillahirrahmanirahim

Begitu cepat masa berlalu.. Syawal berlalu, Zulkaedah menjelang.. September berlalu, Oktober menjelang.


Setiap masa yang hadir dirasakan terlalu padat.. Penuh dengan urusan dan amanah.. namun hati takut.. takut pada kesibukan dunia, takut diri jadi terlupa dengan urusan akhirat.


Dan dalam kesibukan itu, hati tertanya-tanya.. untuk apa aku bertungkus-lumus mengharung kesibukan dunia ini? Adakah sekadar menyiapkan kerja yang diberi atau memuaskan hati agar tidak dimarahi atasan kerana urusan tanggungjawab yang diamanahkan mereka. Dan bagaimana pula dengan amanah dari Allah?



Oh.. sesekali terasa ingin lari dari kecelaruan hidup atas kesibukan urusan seharian..

Kerana hidup bukan sekadar untuk menghabiskan sisa-sisa umur. Amanah kerja bukan sekadar bebanan untuk memastikan tanggungjawab terlaksana.. Kita harus ada tujuan, hidup harus ada fokus.
Dan sesungguhnya di dalam Al-Quran, ayat-ayat cinta Allah ada mengingatkan kita tentang tujuan hidup ini sebagaimana FirmanNya:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya."
(Surah Al-Zariyat: Ayat 56-58)


Tujuan itu jelas.. Dan hanya melalui matlamat itulah, setiap langkah kehidupan harus di susun. Bukan mudah, tapi payah, kerana perjuangan hidup yang susah ini ada ganjaran yang hebat kelak! 

Hati ini sedar dan hati harus akur pada tujuan.. Dan inilah 'ikrar'ku yang harus sentiasa di ingatkan pada diri sendiri agar hidup sentiasa bermatlamat..

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." 
(Surah Al-An'am: Ayat 162)


Matlamat hidup sudah difahami, maka inilah masanya  untuk bergerak.. 
Selamat berjuang! Moga Allah redha! 




Khoirun: Kadangkala bila terlalu sibuk dengan urusan dunia, terasa sangat takut diri jadi terlupa dengan urusan akhirat. "Ya Allah, tunjukkan kami jalan yang lurus. Ameen"

No comments: